KUBANG PASU: Seorang guru agama di sebuah sekolah di Kulim ditahan polis, kerana dipercayai membuat hantaran berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kumpulan WhatsApp.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kenyataan guru sekolah agama bergelar ustaz itu pada petang Khamis sebelum menahan suspek pada jam 10 malam Khamis di rumahnya di Kulim.

"Polis menerima laporan dibuat seorang individu berkaitan hantaran di kumpulan WhatsApp sebelum hantaran itu dimuat naik ke laman Facebook ‘Team Cytop’.

"Fisol berkata, hantaran itu adalah suatu ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri dan berbaur politik.

"Berikutan itu suspek berusia 43 tahun ditahan sepasukan pegawai dan angota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan BSJD IPD Padang Terap di rumahnya.

"Dalam tangkapan itu polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu, pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Kesiksaan (KK).

Katanya, siasatan kes itu diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan polis berhubung kes itu iaitu masing-masing satu di Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Kuala Muda dan Kulim.